Sinopsis


Kemahiran Belajar cara Belajar
Kemahiran belajar cara belajar diajarkan supaya murid peka terhadap teknik pembelajaran yang berkesan. Kemahiran belajar yang perlu dikuasai ialah menentukan bahan yang optimum, pemerolehan maklumat dan memproses maklumat. Penguasaan kemahiran ini membolehkan murid meningkatkan pengetahuan, cekap bertindak dan mengamalkan pembelajaran seumur hidup. Antara aspek kemahiran belajar cara belajar ialah:

1. Kemahiran mendengar iaitu mendengar secara aktif dan intensif

2. Kemahiran merujuk termasuk kemahiran perpustakaan

3. Kemahiran membaca ( untuk pemahaman, membaca pantas)

4. Kemahiran mencatat dan menulis pantas

5. Kemahiran menghasilkan laporan

6. Kemahiran mengorganisasian termasuk membina peta konsep, struktur senarai, jadual, carta alir dan hierarki

7. Pengurusan masa dan gaya pembelajaran termasuk penetapan matlamat diri, rancangan pembelajaran , pengawalan tingkah laku belajar dan senarai semak.

8. Persediaan menghadapi peperiksaan

9. Peperiksaan, teknik menjawab soalan pelbagai pilihan dan soalan esei

10.Strategi belajar termasuk kaedah mengingat jangka panjang

11.Strategi belajar dalam kumpulan


Kemahiran Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK)


Kemahiran Teknologi Maklumat dan komunikasi perlu diajarkan kepada murid supaya mereka boleh menggunakan komputer untuk tujuan komunikasi seperti menghantar dan menerima e-mel, menggunakan aplikasi perisian dalam menyempurnakan tugasan harian, dan memperolehi maklumat melalui internet. Kemahiran generik ini berasaskan empat bentuk penggunaan TMK dalam pengajaran dan pembelajaran ialtu:

1. TMK untuk pembelajaran tutorial. Pembelajaran secara tutorial menggunakan komputer dan perisian pendidikan sama ada dalam CDROM, cakera keras atau laman web, membolehkan kandungan pelajaran disampaikan dalam urutan yang ditetapkan dan dikawal oleh sistem. Pembangun perisian kini mereka bentuk perisian pendidikan bercirikan sistem tutorial pintar (intelligent tutorial system) dan berupaya menyesuaikan maklumat mengikut tahap keupayaan murid.

2. TMK untuk tujuan penerokaan. Penggunaan TMK secara penerokaan yang berasaskan pendekatan konstruktivisme ini membolehkan murid membuat inkuiri penemuan dan mengakses maklumat daripada CDROM, internet dan portel maklumat , mengkaji sesuatu fenomena secara simulasi dan demonstrasi yang langkah atau prosesnya dikawal oleh murid sendiri.

3. TMK sebagai alat aplikasi. Murid berupaya menggunakan perisian untuk membuat tugasan dan menggunakan perisian aplikasi umum seperti pemproses kata, hamparan elektronik, perisian untuk mereka bentuk (CAD) serta alat aplikasi lain seperti penyemak ejaan, tesaurus dan sebagainya.

4. TMK sebagai alat pemudah komunikasi. Kaedah ini membolehkan murid menghantar, menerima dan berkongsi maklumat dengan guru atau murid lain menerusi perkembangan terkini. Komunikasi dilakukan dalam pelbagai mod termasuk teks, grafik, audio, video atau kombinasinya.

No comments:

Post a Comment